Lebih Teliti, Lebih Berjaya?

Oct 31, 2018 5 Minit
lebah, teliti

Pokok pangkalnya, mereka yang teliti mempunyai peluang yang lebih besar untuk berjaya dalam hidup berbanding mereka yang kurang teliti. Mengapakah begitu? Apakah maksud mempunyai sifat ketelitian?

Kamus mendefinisikan sifat ketelitian sebagai ‘ingin melakukan tugas atau tanggungjawab dengan baik dan bersungguh-sungguh’. Ia merujuk kepada mereka yang memberi tumpuan tepat terhadap tugasan mereka, dengan penetapan minda bahawa apa-apa yang dilakukan adalah untuk mencapai matlamat jangka panjang. Dalam kata lain, mereka sanggup melepaskan manfaat jangka pendek yang mungkin dapat diperoleh daripada gangguan lain.

Rahsia kejayaan

Jika anda bekerja cukup keras dan menegaskan diri, serta menggunakan fikiran dan imaginasi anda, anda boleh membentuk dunia sebagaimana yang anda inginkan. – Malcolm Gladwell


Dalam satu kajian pada tahun 2012, Angela Duckworth dan rakan-rakan sekerjanya ingin mengetahui rahsia kejayaan seseorang. Apakah yang diperlukan untuk mencapai kecemerlangan? Adakah ia faktor genius? Nasib? Sumber kewangan?

Mereka mendapati bahawa orang yang teliti adalah yang paling berjaya dalam kejayaan objektif dan subjektif. Mereka berupaya memberi tumpuan terhadap apa yang penting dan mendedikasikan usaha sepenuh mereka untuk mencapai matlamat mereka.

Dalam menjelaskan penemuan kajian mereka, para penyelidik tersebut mendapati bahawa “apa yang menghubungkaitkan aspek-aspek ketelitian ialah kecenderungan seseorang untuk bertindak mengikut matlamat dan piawaian global jangka panjang walaupun mereka ada pilihan untuk melakukan yang sebaliknya.”

“Di tempat kerja, individu yang teliti dan bekerja keras melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh, teratur dan penuh tanggungjawab serta membuat keputusan yang tidak terburu-buru adalah lebih produktif daripada rakan sekerja yang kurang teliti.

“Sifat ketelitian turut membantu individu-individu mengekalkan perhubungan sosial yang sihat, yang merupakan kunci untuk mencapai kesejahteraan diri. Individu yang bersifat teliti lebih cenderung untuk mengelakkan konflik interpersonal yang remeh-temeh dan meleraikan perselisihan faham apabila ia muncul.”

Ketelitian merupakan salah satu daripada sifatBig Five Personality(Keperibadian Lima Dimensi Besar) yang mengukur lima aspek keperibadian yang utama. Ini termasuk keterbukaan, ketelitian, kesepakatan, ekstraversi dan neurotisisme. Dengan mengambil ujian keperibadian sebagai asas penyelidikan, kita dapat memahami kedudukan keperibadian kita di setiap skala lima dimensi tersebut.

Sepertimana Duckworth dan rakan-rakannya menyiratkan, ketelitian ada hubung kait dengan tahap etika kerja kita. Tidak hairan bahawa mereka yang bekerja keras akan mencapai lebih kejayaan, bukan? Namun, bekerja keras semata-mata tidak mencukupi – usaha kita perlu dilakukan dengan penuh ketekunan, fokus dan komitmen untuk mencapai yang terbaik.

Bagi sesetengah orang, ketelitian adalah sifat yang sukar dipupuk – namun ia tetap boleh dibangunkan.

Daripada menyerah kepada sikap suka menangguh kerja, kita dapat menguatkan minda kita untuk memberi sepenuh tumpuan untuk menyempurnakan tugasan yang diamanahkan.
 
Kajian terhadap pembaziran masa menunjukkan bahawa secara purata, kita menghabiskan masa sehingga lima jam sehari menyemak e-mel, menatal media sosial sewenang-wenangnya dan menonton rancangan TV, misalnya. Dalam masa seminggu, ini membawa kepada pembaziran satu hari bekerja. Kalau dikira dengan anggaran kadar bekerja sebanyak RM20 sejam, ini bermakna kita akan kehilangan masa pada jumlah nilai RM26,000.

Pendek kata, orang yang teliti lebih berjaya kerana mereka bijak memanfaatkan masa mereka. Sudah tentu, mereka perlu mengambil masa untuk berehat dari semasa ke semasa. Apa yang dibincangkan tadi merujuk kepada pembaziran masa di luar waktu riadah yang boleh dimanfaatkan untuk kerja yang produktif.

Anda mungkin tertanya-tanya, “Bagus bagi mereka yang memang teliti. Bagaimana pula dengan mereka yang biasa menangguh kerja dan sukar untuk mendapat motivasi?

Seperti kepimpinan, ketelitian adalah kemahiran yang boleh dipelajari. 

Tingkatkan tahap ketelitian

Berikut adalah beberapa langkah untuk meningkatkan tahap ketelitian anda:

1. Tumpukan perhatian kepada perkara yang spesifik

Jika seseorang berkata kepada anda, “Jadilah lebih teliti!” Anda mungkin bingung dengan nasihat itu. Ia adalah seperti seseorang menasihati anda supaya “menjadi lebih sihat” – nasihat itu tidak akan membantu anda mencapai matlamat kecergasan anda.

Sebaliknya, jika seseorang berkata, “Jika anda berazam untuk berlari 1.5 km empat kali seminggu selama sebulan, anda akan mula melihat perubahan”, nasihat itu pasti memberi anda hala tuju yang spesifik.

Oleh itu, cuba tentukan matlamat anda seperti berikut, “Untuk bulan hadapan, saya akan kurangkan penggunaan media sosial selama sejam sehari. Sebaliknya, saya akan menggunakan masa itu untuk membaca/menguasai kemahiran baharu/belajar cara memulakan perniagaan atas talian.”

Mengambil satu langkah demi satu langkah mampu meningkatkan kadar produktiviti anda selama tujuh jam setiap minggu. Ini merupakan titik permulaan yang baik untuk anda menjadi lebih fokus.

2. Tetapkan peringatan diri

Tabiat hidup sememangnya sukar diubah. Jadi, adalah penting untuk anda menetapkan peringatan buat diri sendiri untuk meningkatkan sifat ketelitian anda.

Katakan anda menetapkan matlamat untuk membaca selama sejam sehari. Maka, tetapkan masa tersebut dalam kalendar anda dan anggap ia seperti suatu janji temu yang penting, seperti mana anda berjumpa doktor atau menghadiri temu duga kerja.

Dengan menganggap masa ini sebagai sesuatu yang boleh menambah nilai kepada pembangunan diri, ini akan membantu anda memupuk tabiat baharu yang lebih produktif.

3. Beritahu dan kongsi matlamat dengan orang lain

Kita seringkali gagal dalam usaha mencapai matlamat hidup (seperti resolusi tahun baharu) kerana kita tidak memberitahu dan berkongsi matlamat hidup kita dengan orang lain. Dengan berbuat sedemikian, kita hanya mengehadkan tahap akauntabiliti dengan orang yang mungkin menangguh matlamat hidup kita, iaitu diri kita sendiri.

Dengan memberitahu orang terdekat (beberapa rakan karib atau ahli keluarga) akan niat kita, mereka boleh memastikan kita tidak berputus asa. Dengan ini, mereka dapat membantu mengurangkan gangguan yang mendatang dan meningkatkan fokus kita dengan memberi sokongan moral apabila diperlukan.

Lebih-lebih lagi, kita pasti tidak mahu mengecewakan orang yang senantiasa berada di sampingan kita, maka kita akan terus mengekalkan komitmen kita untuk memperbaiki diri sendiri.

4. Berilah ganjaran buat diri sendiri

Salah satu sebab mengapa orang berputus asa dalam usaha memperbaiki diri adalah kerana mereka berasa seolah-olah mereka ‘memaksa diri’ untuk berusaha tanpa berhenti demi mencapai matlamat mereka.

Dalam perjalanan menuju matlamat, mereka gagal meraikan kejayaan kecil-kecilan walaupun ia adalah komponen penting dalam mengekalkan semangat mereka.
Sebarang pembaikan diri harus dilihat sebagai pelaburan dalam diri, bukannya suatu tugasan yang membebankan. Jadi, jangan lupa untuk memberi ganjaran kepada diri sendiri setiap kali anda mengenal pasti adanya kemajuan positif.

Katakan anda berjaya mengurangkan masa menatal media sosial selama tujuh jam dalam seminggu. Maka, anda boleh memberi ganjaran kepada diri sendiri dengan melakukan sesuatu yang anda gemari, seperti menikmati pencuci mulut kegemaran anda.

Perkara penting yang perlu anda ingat di sini adalah untuk anda mewujudkan hubungan positif dengan usaha anda mengecapi matlamat anda, dan bukannya merasakan seolah-olah perubahan gaya hidup baharu anda adalah berdasarkan pengorbanan dan penafian kesenangan hidup.

Ingat…

Apabila membuat perubahan positif dalam hidup, amat penting untuk anda memberi tumpuan kepada nilai yang akan anda terima daripada komitmen anda.
Jangan sekali-kali memikirkan usaha anda sebagai suatu pengorbanan.

Sebaliknya, lihat usaha anda sebagai sebahagian daripada perjalanan ke arah mewujudkan versi diri terbaik anda. Dengan pemikiran sedemikian, anda akan lebih bermotivasi untuk terus maju ke hadapan.

Ada sebab baik mengapa perubahan tingkah laku dirujuk sebagai sebahagian daripada pembangunan diri – ia mengambil masa.Walaupun dunia kini lebih cenderung kepada penyelesaian secepat mungkin, ingat bahawa apa-apa yang berbaloi pasti memakan masa.

Sepertimana Charles Duhigg mengingatkan kita dalam bukunyaThe Power of Habit (Kuasa Tabiat):

Jika anda percaya anda boleh berubah – jika anda menjadikannya tabiat – perubahan tersebut akan menjadi kenyataan.


Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Anda Seorang Pemimpin

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

ketamakkan

Bebaskan Diri dari Cengkaman Rasa Tamak dan Iri Hati

Oleh Manfred F. R. Kets de Vries. Terokai kitaran destruktif tamak dan iri hati, akar psikologi di sebaliknya, serta enam langkah praktikal untuk mengatasi emosi toksik ini.

Dec 08, 2024 5 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Manfaatkan Bakat Anda

Setiap orang mempunyai bakat istimewa yang tersendiri. Baik kita pandang ke dalam, cungkilkan dan manfaatkan bakat kita itu.

Aug 16, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest